KUALA LUMPUR, 14 Oktober - Skuad remaja wanita negara memulakan kempen Kelayakan Piala Asia B-17 2026 dengan langkah meyakinkan selepas menundukkan pasukan tuan rumah, Tajikistan 2-0 dalam aksi pembukaan Kumpulan A di Stadium Central, Dushanbe, malam tadi.
Malaysia tampil garang sejak wisel pertama dengan corak permainan tersusun, sebelum Laila Syamila memecah kebuntuan pada minit ke-15 hasil gerakan menarik dari tengah padang.
Barisan pertahanan muda negara turut memainkan peranan penting apabila bertahan dengan cemerlang bagi mengekang asakan berterusan tuan rumah, sekali gus memastikan kelebihan satu gol kekal sehingga ke penghujung babak kedua.
Kemenangan Malaysia kemudian disahkan oleh Dishanna Pillay yang tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 untuk mengukuhkan kedudukan kepada 2-0.
Malayan Tigress B-17 kini mengutip tiga mata dan berada di tangga kedua di belakang Filipina yang mengetuai carta selepas membelasah Syria 5-0.
Ketua Jurulatih, Leila Chua gembira dengan keputusan tersebut namun akui anak buahnya sedikit bergelut berdepan tuan rumah yang beraksi agresif.
"Saya sangat bangga dengan para pemain, mereka tetap melawan mesti corak permainan dipamer lawan agak laju dan agresif," katanya selepas perlawanan.
Sementara itu, pemain terbaik perlawanan, Laila Syamila pula bersyukur apabila pasukannya berjaya melepasi ujian pertama dengan catatan kemenangan walau pada awalnya gementar beraksi pertama kali.
"Tajikistan bukan lawan yang mudah, bermain di sini dalam cuaca agak sejuk, pengalaman pertama.. agak gelabah sikit. Kami ikut cakap jurulatih, buat sehabis baik, selagi belum tamat, habiskan permainan," kata Laila.