fb fb fb fb fb

Selangor julang Piala Agong 2024

Pasukan Selangor berjaya merebut gelaran juara Piala Agong bagi tahun 2024/Foto Istana Melaka

MELAKA, 19 Oktober - Pasukan Selangor mengekalkan kejuaraan menjulang Piala Agong apabila menewaskan pasukan Pahang dengan keputusan 3-0 dalam aksi di Stadium Hang Tuah, Melaka malam tadi.

Ketua jurulatih pasukan Selangor, Zamri Hassan berkata, kemenangan itu sebagai pembakar semangat dalam mengharungi kempen Piala Emas Raja-Raja edisi 2024 yang akan bermula Ahad ini.

“Gap dia tak terlalu jauh sebab Piala Emas ni format karnival, jadi hari-hari ada perlawanan, pemulihan sangat penting.

"Hari ini, saya harap tiada kecederaan serius untuk perlawanan esok sebab dalam kumpulan kita, ada tiga hari perlawanan berturut-turut.

"Saya harap pemain saya boleh pulih dengan cepat dan pemain yang saya tukar boleh menggantikan di tahap permainan yang sama keras, dengan momentum dan prestasi yang sama," katanya.

Selangor membuka jaringan seawal minit ke-8 menerusi sepakan deras Muhammad Faris Hafiz Azhar.

Gol kedua hadir pada minit ke-64 melalui sepakan percuma cantik oleh Muhammad Danish Asraf Mohd Noor Azli.

Kemenangan Selangor dimantapkan dengan gol ketiga hasil sepakan Iqbal Hazim Radzi pada minit ke-88.

Keputusan kekal 3-0 sehingga tamat perlawanan, sekali gus menyaksikan Selangor membawa pulang trofi, medal, dan wang kemenangan berjumlah RM10,000, manakala Pahang menerima RM5,000 sebagai naib juara.

GRACE AISYAH KEDAYAN