fb fb fb fb fb

Kedah tewaskan Terengganu 1-0

Kesebelasan utama KDA FC bertemu Terengganu FC pada saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman malam Sabtu/Foto KDA FC

ALOR SETAR, 20 Oktober - Kedah Darul Aman, (KDA FC) meraih kemenangan berharga selepas menang tipis 1-0 ke atas Terengganu FC dalam saingan Liga Super 2024-2025 di Stadium Darul Aman, malam tadi.
 
Kemenangan tersebut pastinya menyuntik semangat para pemain selain mampu menarik semula kehadiran ribuan penyokong ke stadium.
 
Beraksi di hadapan lebih 3,000, penyokong setia hijau kuning, KDA FC turun dengan misi besar memburu tiga mata bagi memperbaiki kedudukan dalam carta liga.
 
Begitu juga Terengganu FC yang mencari kemenangan untuk mengukuhkan kedudukan tiga teratas.
 
Kapten Kedah, Sony Norde memecah kebuntuan apabila menjaringkan gol pada minit ke-36.
 
Bagaimanapun, gol tersebut kemudiannya dibatalkan pengadil perlawanan, Ahmad Zuhaidi Dzulkifli selepas membuat penelitian melalui Video Bantuan Pengadil (VAR).
 
Tatkala aksi babak pertama hampir menuju ke wisel penamat, sepakan percuma yang diambil Sony Norde berjaya ditanduk masuk pemain import pertahanan dari Brazil, Jose Cleyton untuk babak pertama tamat dengan kedudukan KDA FC 1 Terengganu FC 0.
 
Aksi babak kedua, Terengganu lebih mendominasi permainan.
 
Namun ketangkasan penjaga gol KDA FC, Ifwat Akmal Che Kassim berjaya memastikan gawangnya tidak dibolosi.
 
Kedudukan 1-0 kekal hingga tamat perlawanan.
 
Kemenangan tersebut membolehkan KDA FC naik ke kedudukan ke-9 liga dengan 12 mata.

GRACE AISYAH KEDAYAN