JOHOR BAHRU, 21 Oktober-Pasukan remaja kebangsaan masih gagal mencari kemenangan pertama selepas dibelasah Jepun 4-1, dalam Kejohanan Hoki Piala Sultan Johor (SOJC) 2024 di Stadium Hoki Johor, pada Ahad.
Kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan antarabangsa bawah 21 tahun itu, menyaksikan Malaysia kini berada di tangga tercorot.
Skuad remaja kebangsaan berjaya meledak gol pembukaan pada suku ketiga, minit ke-35 hasil jaringan gol padang Adam Ashraf.
Namun, pasukan lawan menyamakan kedudukan empat minit kemudian hasil jaringan Hyota Kamada menerusi pukulan penalti.
Hantaran lemah daripada benteng pertahanan negara mudah dipintas pihak lawan, sekaligus membuka ruang buat Yuto Higuchi menjaringkan gol, minit ke-43.
Derita skuad Young Tigers ditambah apabila kapten Jepun, Yamato Kawahara berjaya menyumbat gol padang dari sudut sukar, minit ke-48.
Gawang pasukan negara dibolos sekali lagi menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan oleh Koyo Nishada, minit ke-51.
Sementara itu, Jurulatih pasukan negara, I. Vikneswaran menyifatkan kekalahan itu, menjadi pengajaran buat anak buahnya, untuk lebih fokus pada perlawanan seterusnya menentang India.
"Kita seharusnya menang tetapi apabila peluang yang kita dapat itu tidak diambil peluang jaringkan gol, sudah tentu kita hukum diri sendiri.
"Kita mendahului permainan tetapi para pemain perlu tahu bagaimana untuk menggerakkan bola dan apa yang mereka harus buat", katanya di sini.
Dalam pada itu, urulatih Jepun, Yoshihiro Anai pula menyifatkan pasukannya bertuah dapat menumpaskan Malaysia, yang tampak lebih berdisiplin dan mempamerkan permainan tersusun.
"Kami tahu bahawa Malaysia, mereka bagus dalam memberikan tekanan dalam permainan dan bermain dengan sangat padat.
"Kami sudah bersedia untuk ini, tetapi mereka kelihatan lebih ketat. Sukar bagi kami untuk bermain dengan corak menekan", katanya.
Terdahulu, pasukan India mengukuhkan kedudukan di tempat pertama setelah menewaskan Great Britain 6-4, dengan mengutip enam mata.
Dalam perlawanan berasingan, Australia mempamer kebangkitan bagi mengikat New Zealand 2-2 sekali gus meraih mata pertama dalam kejohanan ini.