JOHANNESBURG, 14 Oktober – Pasukan bola sepak kebangsaan Cape Verde cipta sejarah apabila berjaya menempah tiket ke Piala Dunia 2026, selepas menewaskan Eswatini 3-0 pada aksi kelayakan terakhir Kumpulan D.
Lebih manis, ia adalah kejayaan pasukan negara itu layak buat pertama kali ke kejohanan berprestij tersebut.
Cape Verde muncul juara kumpulan dengan 23 mata, empat mata mengatasi Cameroon, yang hanya mampu seri 0-0 dengan Angola.
Meski bermula hambar dalam aksi peringkat kumpulan, anak buah Pedro Leitao Brito itu bangkit dengan cemerlang dengan mencatat lima kemenangan berturut-turut, termasuk menewaskan Cameroon di laman sendiri dan Angola di tempat lawan.
Kejayaan ini melengkapkan perjalanan luar biasa pasukan pulau kecil itu, yang kini bersedia mengibarkan bendera mereka di pentas bola sepak dunia buat julung kalinya.