fb fb fb fb fb

Schumacher sahkan perbincangan dengan pasukan F1 Cadillac

Mick Schumacher/Foto Reuters

BERLIN, 15 Julai - Mick Schumacher mengesahkan beliau sedang dalam perbincangan dengan pasukan Cadillac yang bakal menyertai Formula 1 (F1), lapor Agensi Berita Jerman.

"Komunikasi setakat ini sangat positif," kata Schumacher kepada portal berita motorsport.com edisi Brazil.

Anak kepada juara dunia tujuh kali Michael Schumacher itu berada di Brazil hujung minggu lepas untuk Kejohanan Ketahanan Dunia (WEC), bersama pasukan Alpine.

Cadillac akan menyertai kejuaraan utama sukan permotoran itu pada 2026 sebagai pasukan ke-11, dan Mick Schumacher percaya pengeluar kereta Amerika Syarikat itu mempunyai 'projek luar biasa' dan 'sejarah hebat'.

Terdapat banyak spekulasi mengenai siapa yang akan mengisi dua kerusi pemandu Cadillac. Ketua Pasukan Graeme Lowdon sebelum ini mengesahkan Schumacher antara calon yang dipertimbangkan.

"Ia satu penghormatan untuk terlibat, berunding dengan mereka, dan berada dalam kedudukan yang baik," kata Schumacher.

Beliau memulakan kerjaya F1 pada 2021 bersama Haas dan berlumba untuk pasukan Amerika Syarikat itu sehingga 2022, tetapi kontraknya tidak diperbaharui.

Menurut laporan media, bekas pemandu Red Bull, Sergio Perez dijangka diumumkan sebagai salah seorang daripada pemandu Cadillac untuk 2026. Pemandu simpanan Mercedes, Valtteri Bottas juga antara calon utama.-BERNAMA

ASHRIQ FAHMY AHMAD