fb fb fb fb fb

Saudi tiada bantahan penyertaan Rusia dalam AFC

(Abdulaziz bin Turki Al-Faisal bercakap dengan seorang wartawan semasa Kongres AFC ke-33/AFP)

MANAMA, 2 Januari- Arab Saudi tidak akan membantah hasrat Rusia menyertai Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), kata menteri sukannya ketika Rusia mencari jalan untuk kembali ke pertandingan antarabangsa.

Rusia sedang mempertimbangkan kemungkinan berpindah ke Asia pada Disember, setelah dikenakan larangan menyertai pertandingan antarabangsa oleh badan induk Eropah, UEFA susulan pencerobohan di Ukraine.

Walaupun Kesatuan Bola Sepak Rusia kemudiannya menggesa pembentukan jawatankuasa kerja untuk menyambung semula hubungan dengan UEFA, ketua Kesatuan Bola Sepak Rusia, Alexander Dyukov tidak menolak kemungkinan mendapatkan keahlian AFC.

Ketika bercakap dalam Kongres AFC di Bahrain, Menteri Sukan Arab Saudi Putera Abdulaziz bin Turki Al-Faisal berkata beliau tidak nampak masalah dengan Rusia mengalihkan kesetiaannya kepada Asia.

“Jika FIFA dan AFC membenarkannya dan ada faedah untuk Asia maka saya tidak fikir ada masalah dengan perkara itu,” tambah beliau.

Menyertai AFC bermakna Rusia akan bermain perlawanan kelayakan Piala Dunia menentang pasukan Asia dan pasukan kelabnya akan mengambil bahagian dalam pertandingan Asia.

Minggu lalu, atlet Rusia dan Belarus yang diketepikan daripada kebanyakan sukan Olimpik sejak pencerobohan Ukraine, dijemput untuk bertanding dalam Sukan Asia di China yang ditangguhkan tahun ini.

Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa juga menyatakan bahawa kemungkinan membenarkan Rusia dan Belarus bertanding dalam temasya Sukan Olimpik Paris 2024 harus "dikaji dengan lebih lanjut", sekali gus mengabaikan ancaman Ukraine untuk memboikot. -AFP

(Abdulaziz bin Turki Al-Faisal menyampaikan ucapan semasa Kongres Konfederasi Bola Sepak Asia
(AFC) ke-33/AFP)

 

Media Baharu