NEW YORK, 7 Julai – Kelab Liga Perdana Inggeris, Chelsea menjalani sesi latihan di padang latihan East Rutherford, New Jersey pada Isnin, menjelang pertemuan separuh akhir Piala Dunia Kelab menentang wakil Brazil, Fluminense, yang dilihat terus mengejutkan pencabar sejak awal kejohanan.
Chelsea sebelum ini menewaskan satu lagi kelab Brazil, Palmeiras, di peringkat suku akhir namun pemain tengah, Moises Caicedo menegaskan bahawa pasukannya tidak akan memandang rendah keupayaan Fluminense.
“Kami akan turun esok dengan mentaliti kemenangan, kerana kami adalah Chelsea dan kami datang ke sini untuk menang. Kami perlu buktikan mengapa kami masih berada di kejohanan ini,” kata Caicedo kepada media.
Tambahnya, kejayaan dalam perlawanan berprofil tinggi seperti ini lebih bergantung kepada semangat juang dan kekuatan mental, bukan semata-mata kualiti permainan.
“Kedua-dua pasukan mempunyai kualiti, tetapi anda perlu tonjolkan karakter sebenar jika mahu menang,” ujarnya lagi.
Perlawanan separuh akhir antara Chelsea dan Fluminense dijadual berlangsung pada Selasa, 8 Julai di Stadium MetLife, East Rutherford.
Fluminense layak ke separuh akhir selepas menewaskan Al Hilal 2-1.
Pemenang perlawanan ini akan bertemu pemenang satu lagi perlawanan separuh akhir di antara Paris Saint-Germain (PSG) dan Real Madrid, yang akan berlangsung pada Rabu, 9 Julai juga di lokasi yang sama. - REUTERS