MILAN, 8 Julai-Pengurus AC Milan, Massimiliano Allegri mengesahkan bintang dan ketua pasukan Croatia, Luka Modric bakal menyertai kelab berkenaan selepas tamat saingan Piala Dunia Kelab.
“Modric akan tiba pada Ogos. Beliau ialah pemain luar biasa,” kata Allegri dalam sidang media pertamanya sejak kembali membimbing Milan.
Penghijrahan ke AC Milan menamatkan tempoh 13 tahun Modric bersama gergasi Sepanyol, Real Madrid.
Pemain berusia 39 tahun itu sebelum ini telah mengumumkan bahawa beliau akan meninggalkan Madrid sebaik sahaja kejohanan tersebut tamat.
Modric akan menyertai skuad Milan yang kini berusaha bangkit selepas musim hambar yang menyaksikan mereka menamatkan saingan di tangga kelapan Serie A, sekaligus terlepas tempat ke kejohanan Eropah.
Allegri kembali ke Milan buat kali kedua selepas menggantikan Sergio Conceicao yang dipecat pada hujung Mei lalu.
Bekas pengurus Juventus itu turut mengumumkan beberapa perubahan besar dalam skuad menjelang musim baharu.
Antaranya pemjualan Pemain tengah Belanda, Tijjani Reijnders, kepada Manchester City pada Jun, manakala pertahanan kiri Perancis, Theo Hernandez, dilaporkan bakal berhijrah ke kelab Arab Saudi, Al-Hilal.
“Kepada penyokong, saya ingin tekankan bahawa yang paling penting adalah kerja keras setiap hari,” kata Allegri.
“Satu-satunya cara untuk meraih semula rasa hormat adalah melalui tanggungjawab dan pencapaian. Kami benar-benar perlukan sokongan mereka", jelasnya.
Milan akan membuka tirai kempen Serie A pada 23 Ogos menentang Cremonese di laman sendiri.