fb fb fb fb fb

Sasaran skuad Harimau Malaya pada kempen Piala AFF 2022 ditentukan bulan depan - FAM

KUALA LUMPUR, 24 November- Sasaran skuad Harimau Malaya dalam kempen Piala AFF 2022 hanya akan ditetapkan selepas penilaian prestasi terhadap dua aksi pemanas badan dengan Kemboja dan Maldives, bulan depan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Noor Azman Rahman berkata sasaran itu akan diumumkan Ketua Jurulatih, Kim Pan Gon selepas menyenarai pendek 23 pemain bagi saingan tersebut, pertengahan Disember depan.

Jelas Noor Azman, aksi persahabatan dengan Kemboja dan Maldives akan memberi peluang buat Pan Gon menilai prestasi dan kualiti pemain yang dimahukannya dalam skuad Harimau Malaya.

Aksi persahabatan dengan Kemboja akan berlangsung 9 Disember di Stadium Nasional, Bukit Jalil manakala perlawanan dengan Maldives diadakan di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada 14 Disember.

Semalam, FAM mengumumkan senarai 29 pemain kem latihan pusat yang bermula 29 November ini.

Noor Azman optimis kesemua pemain tersebut akan melaporkan diri pada masa ditetapkan, selepas 12 pemain dalam senarai awal, tidak dapat menyertai kem berkenaan.

Bagi saingan Piala AFF kali ini, Malaysia yang diundi dalam Kumpulan B akan memulakan kempen menentang Myanmar di Yangon pada 21 Disember, diikuti bertemu Laos di Bukit Jalil (24 Disember).

Aksi ketiga menentang Vietnam pula berlangsung di Hanoi pada 27 Disember sebelum menutup saingan kumpulan berdepan Singapura di Bukit Jalil pada 3 Januari depan.

Pada edisi 2020 di Singapura tahun lalu, skuad Harimau Malaya tersingkir seawal peringkat kumpulan manakala pencapaian terbaik ialah muncul juara edisi 2010.


(Ketua Jurulatih Malaysia, Kim Pan Gon/FAM)

Media Baharu