fb fb fb fb fb

Sarawak tuan rumah Kejohanan Skuasy Asia 2025

Foto Bernama

KUCHING, 30 Mei - Sarawak bakal menjadi tuan rumah kepada dua kejohanan berprestij anjuran Persekutuan Skuasy Asia yang dijadual berlangsung di Pusat Skuasy Sarawak, Petra Jaya.

Kejohanan Individu Asia 2025 akan berlangsung dari 15 hingga 21 Jun, manakala Kejohanan Beregu Asia 2025 dijadual pada 23 hingga 26 Julai.

Timbalan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Gerald Rentap Jabu memaklumkan kejohanan ini turut disertai tokoh antarabangsa seperti Akarin Hiranpruek dari Thailand selaku Pengarah Teknikal dan Muhammad Mohd Nafzahizam sebagai Pengerusi Kejohanan.

Sebanyak 90 pemain dari 18 negara bakal beraksi dalam kategori individu, manakala 49 pemain dari 8 negara akan bertanding dalam kategori beregu.

Negara yang mengesahkan penyertaan termasuk China, India, Jepun, Korea, Pakistan, Iran, Iraq, Kazakhstan, Sri Lanka dan Indonesia.

Tumpuan turut diberikan kepada bintang muda dari Miri, Harith Danial, yang akan mewakili Sarawak dan Malaysia. Harith sebelum ini meraih pingat emas SUKMA 2024 dan menjuarai Terbuka Skuasy Oakland 2024.

Menurut Dato Gerald, skuasy bakal dipertandingkan dalam temasya Sukan Olimpik 2028 dan beliau berharap Harith akan menjadi atlet ketujuh negara yang layak ke temasya berprestij itu.

Keyakinan itu disandarkan kepada sokongan padu daripada persatuan kebangsaan dan negeri, sekali gus mampu melonjakkan prestasi atlet negara ke tahap lebih tinggi.

MOHD ZAMBRI BIN SUHARANI