fb fb fb fb fb

Salah rangkul anugerah Pemain Terbaik FWA kali ketiga

Mohamad Salah/ REUTERS

LONDON, 23 Mei- Penyerang Liverpool, Mohamed Salah dinobatkan sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Penulis Sukan Bola Sepak (FWA) bagi kategori lelaki buat kali ketiga, manakala bintang Arsenal, Alessia Russo, meraih anugerah sama bagi kategori wanita dalam satu majlis anugerah di London pada Khamis.

Salah menjadi pemain kedua dalam sejarah yang memenangi anugerah itu sebanyak tiga kali, selepas bekas penyerang Arsenal, Thierry Henry.

Pemain antarabangsa Mesir itu kini mendahului carta penjaring Liga Perdana Inggeris musim ini dengan 28 gol, sekali gus membantu Liverpool menjulang kejuaraan liga kedua sejak beliau menyertai kelab itu pada 2017.

"Ia sangat bermakna. Memenangi anugerah ini adalah sesuatu yang luar biasa. Saya sentiasa rasa istimewa setiap kali menerimanya. Melihat jurang undian antara saya dan tempat kedua, ia benar-benar mengagumkan.

"Sejujurnya, memenangi Liga Perdana dan memberi impak dalam pasukan. Saya tidak pernah rasa sebahagia itu seperti ketika kami menewaskan Spurs untuk menjuarai liga. Ketika itu saya benar-benar rasa berbeza kerana saya ada sumbangan besar menerusi gol dan bantuan gol.

"Lebih bermakna apabila kami menang selepas beberapa pemain hebat dan pengurus yang bagus meninggalkan kelab. Jadi, ia sangat istimewa. Saya juga sering bermonolog perkara ini sendiri, adakah saya mampu untuk melakukannya? Ya, saya hanya melakukan tugas saya dan berjaya melakukannya dengan baik," kata Mohamad Salah.

Rakan sepasukannya, Virgil Van Dijk, berada di tempat kedua dalam undian, diikuti oleh penyerang Newcastle United, Alexander Isak, dan pemain tengah Arsenal, Declan Rice.

2305 SKN LNR MOHAMAD SALAH AWARD 2Alessia Russo/ Reuters

Sementara itu, penyerang England, Alessia Russo, yang meledak lapan gol dalam saingan Liga Juara-Juara Wanita dan membantu Arsenal mara ke perlawanan akhir berjaya mengetepikan pencabar utama, Khadija Shaw dari Manchester City yang juga pemenang tahun lalu.

"Saya rasa sangat rendah diri menerima anugerah ini, terutamanya apabila melihat kualiti para pemain dan bagaimana liga kami terus berkembang. Saya benar-benar berasa dihormati dan gembira dengan kemenangan ini.

"Saya hanya mampu bermain sebaik pasukan saya, dan kami mempunyai sebuah pasukan yang sangat hebat, jadi saya rasa sangat bertuah dengan itu," kata Alessia Russo.

Pemain Arsenal, Mariona Caldentey, menduduki tempat ketiga dalam undian, manakala kapten Chelsea, Millie Bright, berada di tempat keempat.- REUTERS

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI