fb fb fb fb fb

Salah kecewa, akui masa depan dengan Liverpool semakin kabur

Mohamed Salah/REUTERS

LIVERPOOL, 7 Disember- Mohamed Salah meluahkan rasa terpinggir selepas diletakkan di bangku simpanan ketika Liverpool terikat 3-3 dengan Leeds United dalam aksi Liga Perdana Inggeris pada Sabtu.

Pemain berusia 33 tahun itu menuduh kelab dan ketua jurulatih, Arne Slot, menjadikan dirinya sebagai punca kejatuhan prestasi pasukan pada awal musim.

Salah, yang telah menjaringkan 250 gol sepanjang lapan tahun di Anfield dan memenangi dua gelaran liga, berkata beliau amat kecewa kerana merasakan jasa dan sumbangannya tidak dihargai.

“Rasanya kelab seperti melemparkan saya ke bawah bas,” katanya sambil menambah bahawa banyak janji yang dibuat kepadanya pada musim panas lalu tidak ditunaikan.

Musim lalu, Salah menjaringkan 34 gol dan mencipta 18 bantuan jaringan dalam 52 perlawanan, namun prestasinya dan pasukan musim ini merosot dengan hanya lima gol serta tiga bantuan jaringan dalam 19 aksi.

Beliau mendakwa ada pihak yang mahu beliau dipersalahkan sepenuhnya atas keadaan itu.

Hubungan Salah dengan Slot turut dikatakan retak sepenuhnya.

Beliau mendakwa hubungan yang sebelum ini baik berubah secara tiba-tiba sehingga mereka “langsung tiada hubungan” dan merasakan seolah-olah ada pihak yang tidak mahu beliau kekal di kelab.

Sejak tiba dari AS Roma pada 2017, Salah menjadi penjaring ketiga terbanyak dalam sejarah Liverpool di belakang Ian Rush dan Roger Hunt.

Namun, kenyataannya kini memberi isyarat bahawa masa depannya di Merseyside semakin tidak menentu.

Salah berkata beliau mungkin mengucapkan selamat tinggal kepada peminat di Anfield sebelum berangkat ke Piala Negara-Negara Afrika, kerana tidak pasti apa nasibnya selepas itu.

“Semua ini tak boleh diterima. Saya tak faham kenapa ia berlaku dan selalunya perkara macam ini jadi pada saya,” katanya. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM