fb fb fb fb fb

Sabalenka juara Terbuka AS

Sabalenka ceria menjulang trofi Terbuka AS / FOTO REUTERS

NEW YORK, 8 September- Pemain tenis Belarus, Aryna Sabalenka akhirnya menjulang trofi di New York selepas bertahun-tahun hampir melakukannya, apabila dia mengalahkan pilihan keenam yang juga pemain tuan rumah, Jessica Pegula, 7-5, 7-5 dalam perlawanan akhir wanita Terbuka AS pada Sabtu.

Sabalenka merangkul gelaran pertamanya di Flushing Meadows setahun selepas tewas di final. Sebelum ini, dia sudah dua kali sampai ke separuh akhir. Sorakan padu peminat tempatan nyata bukan halangan buat Sabalenka dan berjaya mengatasi Pegula dalam permainan terakhir.

“Banyak kali saya rasa saya dah hampir sangat nak menang gelaran Terbuka AS. Akhirnya, saya dapat juga trofi yang cantik ni,” kata Sabalenka, yang bangkit dari ketinggalan dalam kedua-dua set untuk meraih kemenangan.

Pegula, 30, telah menunggu lama untuk sampai ke final kejohanan besar pertamanya dan tiba di New York dalam prestasi terbaik selepas menang di Toronto. Tapi dia tak dapat menandingi kekuatan fizikal lawannya, walaupun disokong sorakan riuh penonton New York.

Stadium Arthur Ashe yang berbumbung separuh, ditutup disebabkan hujan lebat menyaksikan kedua-dua pemain saling bertukar break dua kali ketika mereka menyesuaikan diri dengan perlawanan yang berlangsung dalam ribut.

Sabalenka menangis sejurus menoktahkan mata kemenangan, menjulang gelaran Grand Slam ketiganya selepas dua kali menang di Terbuka Australia. Dia berlari naik ke tempat penonton untuk berkongsi detik kegembiraan dengan pasukannya.

Pemain berusia 26 tahun itu hanya kehilangan satu set di New York dalam perjalanan ke final, sementara pencabar utama seperti juara bertahan Coco Gauff dan pilihan pertama Iga Swiatek tersingkir awal.

Kemenangan di New York ini sangat manis selepas kecederaan menyebabkan dia terlepas Wimbledon dan Sukan Olimpik Paris.

"Saya sangat bangga dengan diri saya, sangat bangga dengan pasukan saya, tak kira apa, tak kira apa pun situasi yang kami hadapi musim ini dan masa lalu, kami berjaya melaluinya," katanya.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE