fb fb fb fb fb

SABAH FC: tekad kembalikan zaman kegemilangannya


KOTA KINABALU, 20 Februari-
Pesanan dan harapan rakyat Sabah melihat kembali zaman emas bola sepak Negeri Di Bawah Bayu itu akan dipikul sewajarnya pada musim ini.

Ketua Jurulatih Sabah FC, Datuk Ong Kim Swee memberi keyakinan, skuad The Rhinos bakal tampil habis baik bagi merealisasikan amanat tersebut.

Beliau juga menyahut cabaran dibuat Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor yang menyatakan harapannya agar kegemilangan pasukan kebanggaan peminat bola sepak Sabah itu kembali menyerlah, khususnya dengan barisan pemain baharu yang dilihat lebih mantap musim ini.

"Sabah pernah menjadi antara pasukan bola sepak elit negara yang melahirkan ramai bintang seperti Datuk James Wong, Datuk Hasan Sani, Matlan Marjan dan Datuk Peter Rajah.

"Justeru, saya ingin melihat Sabah kembali menjadi pasukan hebat yang amat digeruni dan dihormati bukan sahaja di peringkat kebangsaan tetapi juga di rantau ini," katanya pada pelancaran jersi pasukan Sabah FC untuk musim baharu Liga Super, di Pusat Beli Belah Imago, Kota Kinabalu.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah FC, Khairul Firdaus Akbar; Pengarah Sabah FC, Datuk Dr Jelani Hamdan dan Kim Swee.

Justeru beliau berharap sokongan padu semua pihak agar Sabah FC kembali menjadi pasukan yang digeruni.

Bagi musim 2022, Sabah FC menampilkan pemain import dari Brazil, Jepun, Korea Selatan dan Indonesia selain turut dibarisi empat pemain kebangsaan iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Dominic Tan, Mohd Rizal Mohd Ghazali dan Baddrol Bakhtiar serta tiga bekas pemain Harimau Malaya, Amri Yahyah, Irfan Fazail dan Nazirul Naim Che Hashim.

Mengenai jersi baharu Sabah FC, Hajiji menyatakan kegembiraannya apabila mengetahui jersi pasukan kali ini digabungkan dengan elemen tempatan seperti corak tradisi 'Linangkit' dan kontur Gunung Kinabalu yang disifatkan sebagai cara menarik untuk menjana pendapatan melalui penjenamaan pasukan.

Sabah FC menamakan jersi perlawanan di tempat sendiri sebagai 'My Skin', manakala 'Dua Belas' ialah nama jersi tempat lawan yang ditaja oleh Lotto untuk tahun kedua berturut-turut.

Media Baharu