fb fb fb fb fb

Ahmad Faizal harap skuad Harimau Malaya kembali digeruni

KUALA LUMPUR, 20 Februari - Impak positif mampu dijelmakan jurulatih baharu skuad Harimau Malaya, Kim Pan Gon.

Keyakinan tersebut disuarakan Menteri Belia Dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.

Jelas beliau, kehadiran Pan Gon bersama staff kejurulatihan berpengalaman mampu meningkatkan status skuad negara untuk kembali menjadi antara pasukan yang disegani di peringkat antarabangsa.

"Tentunya pemilihan beliau (Kim Pan Gon) telah dibuat dengan penuh teliti, dan saya percaya jika kita semua bekerjasama menjalankan peranan masing-masing, tentunya kita akan mampu meningkatkan prestasi pasukan kita dan saya harap sangat-sangat supaya pasukan bola sepak negara kita akan mencapai satu tahap yang sepatutnya, dengan sokongan daripada para peminat sukan bola sepak di negara kita ini," katanya selepas menyertai program Coffee Ride KL Car Free Morning 2022, di sini.

Ahmad Faizal berkata bekas pengarah pasukan kebangsaan Persatuan Bola Sepak Korea (KFA) berusia 52 tahun itu perlu diberi peluang dan ruang dalam usahanya membawa perubahan positif kepada skuad Harimau Malaya.

Pan Gon, yang juga bekas ketua jurulatih Hong Kong, dilantik bagi menggantikan Tan Cheng Hoe yang melepaskan jawatan bulan lepas sebagai mengambil tanggungjawab ke atas kegagalan Malaysia di Kejuaraan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) di Singapura tahun lalu.

Pan Gon tiba di Malaysia minggu lalu bersama empat pembantu, termasuk penolong jurulatih, Pau Marti Vicente dan jurulatih analisis prestasi pasukan, Lim Jaehun.

 

Media Baharu