fb fb fb fb fb

Malaysia lunas dendam terhadap Indonesia, Juarai BATC 2022

 



SHAH ALAM, 20 Februari- Skuad lelaki negara menamatkan dominasi Indonesia seterusnya melunaskan 'dendam' lama apabila merangkul gelaran sulung pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2022.

Skuad lelaki negara berjaya menundukkan musuh tradisi itu 3-0 dalam aksi final yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, pada petang Ahad.

Indonesia tampil dalam aksi final itu sebagai juara bertahan tiga kali berturut-turut selepas menjuarainya bermula edisi pertama pada 2016 di Hyderabad, 2018 di Kedah dan 2020 di Manila.

Pertemuan pada petang Ahad ini, bagaikan ulangan aksi final edisi 2020 di mana Malaysia tumpas 1-3.

Pada aksi hari ini, jaguh perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia menyumbang mata pertama pasukan selepas menundukkan Chico Aura Dwi Wardoyo 14-21, 21-12, 21-10.

Walaupun dikejutkan dengan kekalahan set pertama, 14-21. Zii Jia kembali beraksi dengan penuh tumpuan pada set kedua dan berjaya meninggalkan lawannya dengan mata sebanyak 21-12, seterusnya mengheret perlawanan ke set penentuan.

Pada aksi di set penentuan menyaksikan juara seluruh England 2021 itu diberikan tentangan sengit oleh Chico, namun Zii Jia dilihat menggunakan segala pengalaman yang dimilikinya bagi menokhtahkan kemenangan 21-10 sekali gus memberikan mata pertama buat skuad negara.

Rentak kecemerlangan Zii Jia diteruskan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik yang mengekalkan rekod tanpa kalah ke atas Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin apabila menang 17-21, 21-13, 21-18 untuk menyumbang mata kedua.

Situasi sama dialami beregu ketujuh dunia itu apabila tumpas 17-21 di set pertama, Namun mereka bangkit di set kedua dengan permainan lebih kemas untuk menang selesa 21-13.

Bersambung di set ketiga, aksi berlangsung sengit namunAaron dan Wooi Yik berjaya memanfaatkan kesilapan lawan untuk menang 21-18.

Mata kemenangan Malaysia dalam perlawanan itu disumbangkan perseorangan kedua, Ng Tze Yong yang mengetepikan cabaran Leonardo Imanuel Rumbay 21-14, 21-15.

Ng Tze Yong yang diturunkan selaku pemain ketiga memberikan mata kemenangan buat Malaysia yang tidak berdepan masalah untuk menguasai permainan dan memastikan kejuaraan BATC milik Malaysia.

Terdahulu, skuad lelaki negara mara ke final selepas menewaskan Korea Selatan 3-0 dalam aksi separuh akhir yang berlangsung di Pusat Konvensyen Setia City, semalam.

Indonesia pula mengesahkan tempat bagi perebutan gelaran juara selepas membenam cabaran Singapura 3-2 dalam satu lagi aksi separuh akhir.

Pada aksi final edisi 2020 di Filipina, skuad lelaki negara terpaksa akur apabila tewas 1-3 di tangan Indonesia.

Media Baharu