fb fb fb fb fb

Ronaldo tarik diri tanding jawatan Presiden Konfederasi Bola Sepak Brazil

Bekas penyerang legenda Brazil dan Real Madrid, Ronaldo Nazario / Foto REUTERS

RIO DE JANEIRO, 3 Mac- Legenda bola sepak Brazil, Ronaldo, mengumumkan bahawa beliau menarik diri daripada pencalonan jawatan presiden Persatuan Bola Sepak Brazil (CBF) selepas gagal mendapatkan sokongan mencukupi daripada persekutuan serantau untuk bertanding.

Bekas pemenang Ballon d'Or dan juara Piala Dunia dua kali itu sebelum ini menyatakan hasratnya pada Disember untuk bertanding dalam usaha "mengembalikan prestij dan penghormatan yang pernah dimiliki Brazil" susulan pelbagai kontroversi yang melibatkan kepimpinan CBF.

Namun, bekas bintang Barcelona, Inter Milan dan Real Madrid itu menyedari bahawa beliau tidak mampu mencabar penyandang jawatan, Ednaldo Rodrigues, yang mendapat sokongan hampir keseluruhan pemilih.

"Dalam pertemuan pertama saya dengan 27 persekutuan serantau, saya mendapati 23 daripadanya menutup pintu. Jika majoriti pembuat keputusan percaya bahawa bola sepak Brazil berada di tangan yang betul, maka pendapat saya tidak lagi penting," kata Ronaldo dalam satu kenyataan yang dimuat naik di media sosialnya.

"Persekutuan-persekutuan menolak untuk menerima kehadiran saya atas alasan mereka berpuas hati dengan pentadbiran semasa serta menyokong pemilihan semula Rodrigues.

"Saya tidak berpeluang untuk membentangkan projek saya, mengemukakan idea atau mendengar pandangan mereka seperti yang saya harapkan. Tiada keterbukaan untuk berdialog.

"Statut memberikan persekutuan kuasa undi terbesar, jadi jelas saya tidak mempunyai peluang untuk bertanding.

"Kebanyakan pemimpin tempatan menyokong presiden penyandang, itu hak mereka dan saya menghormatinya walaupun bertentangan dengan kepercayaan saya", katanya.

Pengundian terdiri daripada 27 persekutuan serantau dengan tiga undi setiap satu, sementara 20 kelab Liga Serie A diberikan dua undi setiap satu, dan 20 pasukan Liga Serie B mendapat satu undi setiap satu.

Rodrigues dijangka menjadi calon tunggal dalam pemilihan tahun hadapan.-REUTERS.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD