ARAB SAUDI, 1 Mei - Harapan Cristiano Ronaldo untuk menjulang kejuaraan Asia pertama musnah selepas tersingkir di separuh akhir Liga Juara-Juara Asia Elite.
Saingan berlangsung di Jeddah menyaksikan kelabnya Al-Nassr tumpas 2-3 kepada Kawasaki Frontale.
Kelab Jepun itu tampil garang apabila membuka jaringan menerusi Tatsuya Ito pada minit ke-10.
Kelebihan itu tidak bertahan lama selepas Sadio Mane menyamakan kedudukan 18 minit kemudian hasil rembatan yang terbias pemain lawan.
Masuk minit ke-41, Frontale kembali mendahului selepas Yuto Ozeki pantas menyambar bola muntah hasil percubaan Ito untuk gol kedua pasukan pelawat.
Bersambung babak kedua, Kawasaki kendalian Shigetoshi Hasebe terus cemerlang meledak gol ketiga bermula dengan gerakan lincah Erison di bahagian sayap yang kemudian disudahkan Akihiro Ienaga pada minit ke-76.
Enggan dimalukan, Al-Nassr memperkemaskan rentak dan berjaya memperoleh gol kedua menerusi rembatan jarak jauh Aiman Yahya pada minit ke-87.
Hasrat Al-Nassr untuk memburu gol penyamaan selepas itu menemui jalan buntu.
Kawasaki kekal tenang di minit akhir permainan walaupun diasak bertubi-tubi termasuk dua cubaan Ronaldo yang diselamatkan penjaga gol Louis Yamaguchi.
Perlawanan berakhir dengan keputusan 3-2 memihak Kawasaki.
Kelab itu akan berdepan satu lagi kelab Arab Saudi, Al-Ahli dalam pertembungan akhir hujung minggu ini.- REUTERS