(Reaksi kecewa Cristiano Ronaldoselepas perlawanan suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 antara Maghribi
dan Portugal di Stadium Al-Thumama di Doha pada 10 Disember 2022/FOTO IHSAN FIFA)
LISBON, 12 Disember- Cristiano Ronaldo berkata "tidak ada gunanya memberi reaksi dalam suasana tegang ketika ini," reaksinya ketika mengulas penyingkiran Portugal pada Piala Dunia 2022 selepas ditewaskan Maghribi dalam saingan suku akhir.
Ronaldo masih terus berada di Qatar ketika ramai daripada pemain skuad Portugal sudah pulang dan tiba di Lisbon awal pagi tadi.
"Untuk memenangi Piala Dunia bersama Portugal adalah impian terbesar dalam karier saya.
"Mujur saya memenangi banyak gelaran antarabangsa termasuk bersama Portugal," tulis Ronaldo dalam Instagram.
Hantarannya tidak menyebut mengenai persaraan antarabangsa tetapi dia memulakan dua perlawanan terakhir Portugal di Qatar di bangku simpanan, keputusan yang mencetus perdebatan di Portugal dan seluruh dunia.
"Mari kita berharap masa menjadi penentu dan terpulang kepada setiap orang membuat kesimpulan sendiri," tulisnya.
Hantaran Instagram itu disertakan dengan gambar Ronaldo yang sedang menundukkan kepala, keluar dari padang di Doha selepas kekalahan 1-0 pada suku akhir di tangan Maghribi, Sabtu lalu.
Pada usia 37 tahun, Ronaldo beraksi pada Piala Dunia kali kelimanya.
Sejurus wisel penamat beliau berjalan ke terowong menuju bilik persalinan dengan deraian air mata.
(Cristiano Ronaldo meninggalkan padang selepas tewas kepada Maghribi 1-0 dalam
saingan suku akhir Piala Dunia Qatar 2022 antara Maghribi dan Portugal pada
10 Disember 2022/FOTO IHSAN FIFA)
Ronaldo kini tidak mempunyai kelab selepas 'bercerai' dengan Manchester United.
Menurut akhbar Portugal, Ronaldo mengancam untuk meninggalkan skuad selepas dia digugurkan daripada kesebelasan utama, namun ia dinafikan jurulatih Fernando Santos, yang akan bertemu Persatuan Bolasepak Portugal tidak lama lagi bagi membincangkan masa depannya.
"Saya hanya mahu setiap orang tahu banyak sudah diperkatakan, banyak sudah ditulis, banyak spekulasi tersebar, tetapi dedikasi saya kepada Portugal tidak berubah dalam sekelip mata," tegas Ronaldo.
"Saya sentiasa menjadi seorang lagi pemain yang berjuang bagi gol untuk setiap orang dan saya tidak akan membelakangkan rakan sepasukan dan negara saya."
"Dalam lima Piala Dunia saya beraksi, sentiasa bersama pemain hebat dan disokong oleh berjuta-juta rakyat Portugal, saya memberikan segala-galanya. Saya meluahkan segala-galanya di tengah padang. Saya tidak pernah membelakangi perjuangan dan saya tidak pernah berputus asa dengan impian ini.
"Malangnya, semalam mimpi itu berakhir. Mimpi itu indah ketika ia masih belum berakhir." –AFP