fb fb fb fb fb

RM15 juta diperuntuk untuk kebajikan Harimau Malaya - PM

Sebanyak RM15 juta diperuntukkan kepada pasukan Harimau Malaya merangkumi keperluan kebajikan pemain, jurulatih, dan pengurusan pasukan / Foto Hiasan

PUTRAJAYA, 3 September - Sebanyak RM15 juta diperuntukkan kepada pasukan Harimau Malaya merangkumi keperluan kebajikan pemain, jurulatih dan pengurusan pasukan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata peruntukan khas itu bertujuan untuk mengangkat nama baik dan kewibawaan Harimau Malaya di persada antarabangsa.

Beliau berkata, peruntukan sebanyak RM10 juta merupakan dana daripada kerajaan manakala RM5 juta lagi daripada sumbangan syarikat swasta.

Peruntukan tersebut akan dipantau Kementerian Kewangan bagi memastikan pengurusan kewangan pasukan lebih teratur.

"Saya akan berbincang dengan FAM untuk memberi kerjasama kerana ini adalah bidang mereka. Peruntukan ini khusus untuk Harimau Malaya, termasuk pemain, latihan, dan makanan, agar kita dapat menaikkan nama mereka dan mereka tidak lagi perlu risau," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan di sini, hari ini.

Tambah Anwar, pertemuan bersama FAM akan diadakan selepas beliau selesai Lawatan Kerja di Rusia, minggu ini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN