THAILAND, 18 Disember – Penantian panjang peminat berbasikal trek negara akhirnya berakhir apabila Muhammad Ridwan Sahrom muncul juara acara keirin lelaki pada Sukan SEA Thailand 2025, sekali gus menghadiahkan pingat emas kepada Malaysia menerusi pecutan bertenaga pada saat akhir perlumbaan, hari ini.
Beraksi di Velodrom Hua Mark, Bangkok, pelumba berusia 24 tahun itu berdepan tekanan hebat daripada wakil tuan rumah, termasuk juara Sukan Asia 2018, Jai Angsuthasawit, dalam perlumbaan yang berlangsung sengit sejak awal.
Namun, ketika kemenangan dilihat seakan memihak kepada Thailand, Ridwan mempamerkan ketenangan serta taktikal yang tepat apabila melakukan pecutan terakhir yang kemas untuk memintas pencabar tuan rumah di garisan penamat.
Saat yang membanggakan pelumba basikal trek negara, Muhammad Ridwan Sahrom apabila mendahului pelumba lain dalam acara keirin lelaki pada temasya Sukan SEA Thailand 2025/Foto BERNAMA
Kejayaan itu bukan sahaja memastikan pingat emas acara keirin kembali menjadi milik Malaysia, malah mengukuhkan status negara sebagai antara kuasa utama dalam acara tersebut di peringkat Asia Tenggara.
Pingat gangsa dimenangi pelumba Thailand, Norasetthada Bunma, manakala seorang lagi wakil negara, Muhammad Fadhil Zonis, terpaksa berpuas hati di kedudukan keempat.
Emas berkenaan turut menjadi pencapaian tertinggi Ridwan di pentas antarabangsa selepas beberapa kali menaiki podium tanpa bergelar juara.
Untuk rekod, acara keirin tidak dipertandingkan dalam tiga edisi Sukan SEA sebelum ini, dengan kali terakhir Malaysia memenangi emas menerusi Datuk Azizulhasni Awang pada edisi 2017 di Kuala Lumpur, sekali gus menjadikan kejayaan Ridwan sebagai simbol kesinambungan legasi keirin negara.