KOTA BHARU, 18 Disember – Kelantan Red Warriors FC (KRW FC) terus agresif memantapkan pasukan bagi baki saingan Liga A1 Semi Pro apabila mengikat pemain import dari Brazil, Wesley Leal Barnaske, hari ini.
Wesley Barnaske, 26 dijangka memperkukuh posisi penyerang dan bakal bergandingan dengan pemain import sedia ada, Emmanuel Mbarga dalam usaha meningkatkan ketajaman jentera serangan pasukan.
Presiden KRW FC, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata pihak pengurusan akan melengkapkan kuota tiga pemain import dengan pengambilan Wesley, Mbarga serta seorang lagi pemain import yang dijangka menyertai pasukan dalam masa terdekat.

Presiden KRW FC, Datuk Muhamad Zaki Harun/Foto RTM
“Insya-Allah, dalam masa terdekat seorang lagi pemain import akan menyertai pasukan. Bagi menghadapi pusingan kedua nanti, sudah tentu kami akan menjanjikan persembahan yang lebih hebat. Setakat ini, peminat dapat melihat apa yang telah kami lakukan dan saya berharap penyokong di luar sana terus memberi penghargaan serta sokongan kepada pasukan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Pengenalan Import Baharu dan Bas Rasmi Pasukan di Kampung Raja, Teluk Mesira, di sini.
Menurut Datuk Muhamad Zaki, dalam masa yang sama pihaknya turut memberi penekanan terhadap kualiti pemain tempatan dengan memperkenalkan bakat baharu, termasuk kemungkinan mengambil satu atau dua pemain tempatan bagi menghadapi saingan pusingan kedua liga.
Katanya, kehadiran pemain-pemain tersebut diharap dapat mempertajamkan lagi jentera serangan pasukan yang kini berada di kedudukan keenam liga.
Beliau turut berharap KRW FC mampu meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir bulan ini, masing-masing menentang Imigresen FC II pada Sabtu ini serta Bunga Raya FC pada 28 Disember, sekali gus merebut slot kelayakan ke saingan Piala Malaysia 2025/26.