fb fb fb fb fb

Remco Evenepoel tinggalkan Soudal Quick-Step, sertai Red Bull-Bora

Jaguh berbasikal Belgium dan pemenang pingat emas Olimpik, Remco Evenepoel/Foto REUTERS

BRUSSELS, 6 Ogos – Jaguh berbasikal Belgium dan pemenang pingat emas Olimpik, Remco Evenepoel, akan meninggalkan pasukan Soudal Quick-Step untuk menyertai Red Bull-Bora-Hansgrohe pada penghujung musim 2025, menurut kenyataan pasukannya pada Selasa.

Pelumba berusia 25 tahun itu, yang pernah menjuarai Vuelta a Espana dan memenangi dua pingat emas dalam acara perlumbaan jalan raya dan ujian masa di Sukan Olimpik Paris tahun lalu, mula menyertai Soudal Quick-Step pada 2019 dengan kontrak hingga akhir 2026.

Namun, masa depannya dalam sukan berbasikal pernah menjadi tanda tanya selepas dia mengalami kemalangan serius pada Disember lalu ketika menjalani latihan di Belgium.

Dalam insiden itu, Evenepoel melanggar pintu kereta yang terbuka dan mengalami patah tulang, terkehel tulang selangka serta lebam pada kedua-dua paru-paru.

Selepas menjalani pembedahan, dia kembali berlumba pada April lalu.

Pada edisi terbaru Tour de France bulan lalu, Evenepoel berada di kedudukan ketiga keseluruhan sebelum menarik diri pada peringkat ke-14. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD