fb fb fb fb fb

Legenda FC Porto, Jorge Costa, meninggal dunia

Bekas ketua pasukan FC Porto, Jorge Costa/Foto REUTERS

PORTO, 6 Ogos – Bekas ketua pasukan kelab Portugal FC Porto, Jorge Costa, meninggal dunia pada usia 53 tahun selepas mengalami serangan jantung di pusat latihan kelab itu pada Selasa, menurut kenyataan rasmi pasukan.

Costa, yang ketika ini berkhidmat sebagai Pengarah Bola Sepak Profesional Porto dalam musim keduanya, dikejarkan ke hospital namun gagal diselamatkan.

Sepanjang kariernya, bekas pemain pertahanan itu telah membuat 530 penampilan dalam semua kejohanan, termasuk 383 perlawanan bersama Porto dan 50 aksi bersama skuad kebangsaan Portugal.

Beliau dikenali dengan julukan "Bicho" (Haiwan) yang diberikan oleh rakan sepasukan, Fernando Couto, semasa mereka bergandingan di posisi pertahanan tengah.

Sebagai kapten, Costa mengetuai Porto memenangi Piala UEFA pada 2003 dan Liga Juara-Juara Eropah pada 2004 di bawah bimbingan Jose Mourinho.

Costa turut mencatat sejarah sebagai salah seorang daripada enam pemain yang memenangi lima kejuaraan liga Portugal berturut-turut bersama Aloisio, Drulovic, Paulinho Santos, Rui Barros dan Folha.

Pada April 2024, beliau kembali ke Porto sebagai pengarah kelab di bawah kepimpinan presiden baharu, Andre Villas-Boas. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD