fb fb fb fb fb

Rekod tanpa kalah PSG berakhir di tangan Nice

Reaksi para pemain PSG selepas tamat perlawanan menyaksikan mereka tewas kepada Nice pada Jumaat / Foto AFP

PARIS, 26 April-Rekod tanpa kalah Paris Saint Germain (PSG) dalam Liga Perancis berakhir selepas tumpas 3-1 kepada Nice di laman sendiri pada Jumaat.

Pada perlawanan tersebut, penyerang Nice, Morgan Sanson meledak dua gol buat Nice sekali gus menghadiahkan kemenangan kepada pasukan tersebut meskipun PSG mendominasi perlawanan.

PSG berjaya menyamakan kedudukan menerusi Fabian Ruiz pada babak pertama.

Sanson meledak gol kedua hanya 22 saat selepas babk kedua dimulakan sebelum Youssouf Ndayishimiye menanduk masuk gol ketiga Nice bagi mengesahkan kemenangan.

Kekalahan itu bermakna PSG gagal menyamai rekod Nantes, yang mencatat 32 perlawanan tanpa kalah dari permulaan musim ketika merangkul gelaran liga pada musim 1994/95.

Sementara itu, Ketua jurulatih PSG, Luis Enrique jelas kecewa dengan kekalahan anak didiknya.

“Kami memang berhasrat untuk memecahkan beberapa rekod dalam minggu-minggu terakhir ini,” akui Luis Enrique.

“Namun ia tidak menjadi kenyataan, dan ia sama sekali tidak mengubah matlamat utama kami iaitu mara ke perlawanan akhir Liga Juara", katanya.

Dalam pada itu, kemenangan terhadap PSG membuka peluang kepada Nice untuk layak ke Liga Juara musim depan, apabila mereka kini naik ke tangga keempat dan hanya dipisahkan dengan Monaco di tempat ketiga berdasarkan perbezaan gol. Marseille di tempat kedua pula hanya satu mata di hadapan.

“Ia satu pencapaian besar untuk menewaskan PSG ini, dengan musim hebat yang mereka lalui, di tempat mereka sendiri,” kata jurulatih Nice, Franck Haise.-AFP.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD