JOHOR BAHRU, 26 April – Lebih 100 buah bas membawa penyokong Kelab Bola Sepak Johor Darul Ta’zim (JDT) ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pada pukul 8.36 pagi tadi bagi menyaksikan aksi akhir Piala Malaysia menentang Sri Pahang FC, malam ini.
Timbalan Presiden Kelab Penyokong Bola Sepak JDT, Mohd Fadzli Sapie berkata, daripada jumlah tersebut, 15 buah bas bergerak dari Stadium Tan Sri Dato' Haji Hassan Yunos di Johor Bahru, manakala selebihnya bertolak dari daerah lain seperti Kulai, Pontian, Ayer Hitam dan Batu Pahat.
Konvoi terbesar ke perlawanan akhir itu diketuai oleh kelab penyokong Boys of Straits (BOS) yang menyediakan kira-kira 80 buah bas bagi para penyokong.
“Alhamdulillah, cuaca hari ini baik, sambutan pun sangat menggalakkan. Saya amat gembira dengan semangat penyokong JDT. Perancangan bermula seawal pukul 6.30 hingga 7 pagi. Penyokong sudah berkumpul dan kita telah beri taklimat sebelum berkonvoi,” katanya di sini.
Setakat ini, lebih 30,000 penyokong berdaftar dijangka memenuhi SNBJ malam ini bagi memberikan sokongan kepada Harimau Selatan.
Seorang penyokong setia, Noraini Arshad, berkata beliau tiba seawal pukul 7.30 pagi dan tidak pernah terlepas menyaksikan perlawanan penting pasukan kesayangannya.
“Setiap tahun saya akan pergi tengok. Malah sebelum ini saya ke Australia, Thailand dan Kemboja untuk menyaksikan perlawanan AFC. Saya memang peminat tegar JDT sejak 2013,” katanya.
Sementara itu, salah seorang penyokong yang ditemui RTM, Alias Hashim, menyasarkan kemenangan 3-0 buat JDT.
“Saya tiba pukul 7.30 pagi kerana jalan agak sesak. Harapan saya semua penyokong jaga disiplin di stadium dan dalam perjalanan, mudah-mudahan semuanya berjalan lancar,” ujarnya.
Kali terakhir JDT dan Sri Pahang bertemu di pentas akhir Piala Malaysia ialah pada tahun 2014, menyaksikan Sri Pahang muncul juara menerusi penentuan penalti 5-3 selepas seri 2-2 dalam masa sebenar.
Dalam saingan Liga Super musim ini, JDT mencatat dua kemenangan ke atas Sri Pahang, masing-masing dengan keputusan 3-0 dan 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri.
JDT kini berada di landasan untuk mencipta sejarah sebagai pasukan pertama memenangi empat kejuaraan utama (quadruple) dalam satu musim – Piala Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, dan Piala Malaysia.