JOHANNESBURG, 9 Disember - Maghribi hadir ke Piala Negara-Negara Afrika (AFCON) 2025 sebagai pilihan utama selepas mencatat 18 kemenangan berturut-turut, satu rekod dunia baharu.
Ia sekali gus melonjakkan keyakinan skuad bimbingan Walid Regragui menjelang kejohanan di laman sendiri.
Rentetan kemenangan itu bermula pada Jun 2024 ketika mereka menewaskan Zambia 2-1 dalam kelayakan Piala Dunia 2026, dengan kemenangan terbaharu hadir bulan lalu menerusi kemenangan 4-0 ke atas Uganda dalam aksi persahabatan.
Rekod kemenangan terdahulu dipegang Sepanyol sejak 2009 dengan 15 kemenangan, angka yang dilepasi Maghribi apabila menewaskan Congo Brazzaville 1-0 dua bulan lalu dalam satu lagi aksi kelayakan Piala Dunia.
Maghribi meledak 55 gol dalam 18 perlawanan tersebut, hanya bolos empat kali, dan mencatat 14 perlawanan tanpa bolos.
Prestasi cemerlang ini, ditambah kelebihan beraksi di laman sendiri serta harapan terhadap kehadiran Pemain Terbaik Afrika 2025, Hakimi, menjadikan Maghribi pilihan utama untuk dinobatkan juara Afrika.
Regragui optimis bintang PSG itu sempat pulih menjelang aksi pembukaan Kumpulan A menentang Comoros pada 21 Disember.
"Dia semakin baik dan mahu bersama pasukan. Dia ketua dan pemimpin kami," katanya.
Pemain pertahanan Paris Saint-Germain itu mengalami kecederaan buku lali s dalam aksi Liga Juara-Juara menentang Bayern Munich, namun kebimbangan awal bahawa dia akan terlepas AFCON kini semakin reda.
Hakimi, rakan seposisi Noussair Mazraoui dari Manchester United, penjaga gol Yassine “Bono” Bounou, pemain tengah Sofyan Amrabat dan penyerang Youssef En Nesyri membentuk tonggak utama skuad Atlas Lions.
Maghribi diundi bersama Comoros, Mali dan Zambia, dengan semua aksi Kumpulan A berlangsung di Stadium Prince Moulay Abdellah, Rabat, venue yang turut menjadi lokasi akhir.
Maghribi pernah memenangi AFCON sekali pada 1976 di Ethiopia.
Pencapaian paling hampir selepas itu hadir pada 2004 apabila mereka tewas 2-1 kepada tuan rumah Tunisia dalam final