KUALA LUMPUR, 27 Jun- Ranking jaguh perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia jatuh lagi.
Terbaharu, pemain itu menghuni kedudukan ke-14 dunia, jatuh satu tangga berdasarkan kemas kini dikeluarkan Persekutuan Badminton Dunia (BWF), hari ini.
Zii Jia berada di kedudukan ke-14 dengan 54,476 mata, jauh ditinggalkan juara dunia dari Denmark, Viktor Axelsen dengan 103,005 mata di kedudukan tertinggi ranking BWF.
Dalam pada itu, dua beregu lelaki negara iaitu juara bertahan dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik kekal di kedudukan keempat dan gandingan profesional Ong Yew Sin-Teo Ee Yi di ranking keenam.
Ketika ini pasangan profesional, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie merupakan satu-satunya wakil beregu campuran negara dalam kedudukan 10 teratas selepas kekal di tangga ketujuh dunia.
Sementara itu, kejayaan bergelar juara Terbuka Taiwan 2023, Ahad lepas, membantu beregu campuran negara, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei melonjak empat anak tangga dari kedudukan ke-19 untuk berada di ranking ke-15 dengan 54,888 mata.
(Foto Fail)