fb fb fb fb fb

Ranking FIFA: Harimau Malaya jatuh ke tangga ke-137

FOTO FB FAM

KUALA LUMPUR, 27 Oktober - Skuad Harimau Malaya jatuh tiga anak tangga dalam kemas kini terbaharu Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).

Skuad kendalian Kim Pan Gon yang berada di tempat ke-134 bulan lalu, terpaksa akur jatuh di kedudukan ke-137 apabila mengumpul keseluruhan 1,096.72 mata.

Secara keseluruhannya, Malaysia hanya meraih 1.82 mata dalam perlawanan antarabangsa FIFA dari 9 hingga 17 Oktober lepas.

Ini turut membabitkan kejohanan Pestabola Merdeka 2023 yang berakhir baru-baru ini yang menyaksikan skuad negara menang ke atas India 4-2, sebelum tumpas di tangan Tajikistan 0-2 pada aksi final.

Kemas kini ranking itu bagaimanapun tidak menjejaskan Malaysia yang kekal di kedudukan ke-24 terbaik Asia dan ketiga terbaik Asia Tenggara di belakang Vietnam dan Thailand yang berada di kedudukan ke-94 dan 112.

Juara Piala Dunia musim lalu, Argentina kekal pasukan nombor satu dunia dengan mengumpul 1851.41 mata keseluruhan diikuti Perancis di tangga kedua dan Brazil menghuni kedudukan ketiga.

Jepun yang menghuni tangga ke-19 dunia pula muncul pasukan teratas Asia dengan mengumpul 1605.2 mata manakala Iran (21) dan Korea Selatan (26) berada di tangga kedua dan ketiga benua itu.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD