HANGZHOU, 26 Oktober- Pemain Badminton perseorangan para negara, Cheah Liek Hou optimis akan memberikan fokus sepenuhnya pada perlawanan akhir dalam temasya Sukan Para Asia Hangzhou 2022 esok.
Atlet berusia 35 tahun itu juga mengharapkan untuk terus kekal dalam keadaan baik selain tidak pandang mudah terhadap lawannya dalam saingan itu.
"Saya tidak fikir tentang pingat emas sebab sekarang sudah masuk ke saingan akhir. Setiap pemain yang masuk ke saingan akhir memang ada keupayaan masing-masing.
"Jadi saya akan fokus dalam setiap permainan dan pukulan dalam pertandingan esok," katanya kepada RTM selepas bermain di peringkat Separuh Akhir di Binjiang Gimnasium di sini.
Sebelum ini beliau berjaya meraih kemenangan mudah ke atas pemain Taiwan, Jen yu Fang dengan mata 21-7 dan 21-9.
Esok beliau akan berentap dengan musuh tradisinya dari Indonesia iaitu Dheva Anrimusti dalam pusingan akhir.
Sementara itu ketua jurulatihnya, Norva Armada optimis anak buahnya memiliki peluang besar untuk meraih pingat emas esok.
"Kalau untuk Cheah Liek Hou dia berada dalam keadaan baik setakat ini. Tapi kita cuba sehabis baik untuk saingan esok," katanya.
Norva Armada juga mengharapkan anak buahnya mampu menampilkan permainan yang terbaik buat negara.