SEMENYIH, 9 November - Pasukan PDRM mempertahankan rekod tanpa kalah dalam Kejohanan Ragbi Piala Agong edisi kali ini setelah memenangi perlawanan kedua peringkat kumpulan dengan menewaskan Kuala Lumpur 27-18.
Pada aksi tersebut, PDRM bermula baik pada separuh masa pertama dengan gabungan berbahaya Fazren Noor dan Sofian Kamil di posisi 'Scrum-half' dan 'fly-half' berjaya mengemudi pasukan mereka.
Kuala Lumpur cuba bangkit pada separuh masa kedua dengan satu penalti dan dua 'try', namun ia belum cukup menghalang PDRM daripada mencatat kemenangan.
Meskipun menang, Ketua Jurulatih PDRM, Sarjan Shahril Azri Abdul Raup masih kurang berpuas hati dengan persembahan anak buahnya.
"Kalau kita tengok perlawanan pada hari ini, keserasian yang ada pada para pemain adalah pada tahap 50 peratus. Saya harap para pemain dapat mempertingkat dan membaiki corak permainan," kata Shahril kepada RTM ketika ditemui selepas perlawanan, di sini.
(Ketua Jurulatih PDRM, Sarjan Shahril Azri Abdul Raup)
Selepas ini, PDRM akan menentang Perlis pada aksi ketiga peringkat kumpulan.