fb fb fb fb fb

Ragbi 7s kebangsaan: Selangor juara wanita kali ketiga, Kelantan tamat kemarau

Foto RTM

KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Pasukan ragbi wanita Selangor mencipta sejarah apabila merangkul kejuaraan Kejohanan Ragbi 7 Sepasukan Kebangsaan 2025 buat kali ketiga berturut-turut selepas menewaskan Terengganu 29-0 di pentas akhir kategori Wanita Terbuka.

Aksi yang berlangsung di Stadium Ragbi Tengku Muhammad Ismail itu menyaksikan Selangor dan Terengganu turun sebagai pilihan, masing-masing dengan rekod tanpa kalah sepanjang kejohanan selama tiga hari.

Kejayaan itu membolehkan skuad berkenaan membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000 berserta piala kejohanan manakala Terengganu berpuas hati dengan meraih hadiah wang tunai sebanyak RM2,000.

Ketua jurulatih ragbi Wanita Selangor, Mohammad Nazhim Shahruddin menyifatkan kemenangan tersebut adalah hasil dedikasi dan semangat berpasukan yang tinggi.

"Memang bukan laluan yang mudah kita mendapat tentangan hebat daripada pasukan tuan rumah (Terengganu).

"Alhamdullilah, pemain-pemain memberikan prestasi yang terbaik dan fokus yang amat tinggi untuk mengekalkan di tempat pertama dan kali ketiga semestinya", katanya ketika ditemui media di sini.

Sementara itu, Kelantan muncul juara Lelaki Terbuka apabila menewaskan juara bertahan, Johor 17-12 dalam satu lagi aksi akhir yang mencuri tumpuan. Kejayaan itu sekali gus menamatkan penantian lapan tahun pasukan Pantai timur itu untuk menjulang semula Piala Ung Khek Cheow.

Ketua jurulatih Kelantan, Mohamad Syarif Saiful Aazwan Sudin berkata, kejayaan itu hasil tekad pasukan yang mahu menebus kegagalan lalu.

“Kita memang sasarkan kejuaraan tahun ini kerana beberapa pemain lama kembali bersama pasukan. Alhamdulillah, segalanya menjadi,” katanya.

Selaku juara, Kelantan membawa pulang hadiah wang tunai RM5,000 berserta piala kejohanan manakala Johor meraih RM3,000.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD