fb fb fb fb fb

PSAS: Malaysia menang tipis 1-0 ke atas Korea Selatan

Foto BERNAMA

IPOH, 11 Mei- Malaysia melengkapkan jadual pusingan awal Piala Sultan Azlan Shah (PSAS) ke-30 dengan kemenangan tipis 1-0 ke atas juara tiga kali Korea Selatan di Stadium Hoki Azlan Shah di sini malam tadi.

Jaringan tunggal aksi berkenaan oleh Mohamad Akhimullah Anuar Esook pada minit ketujuh disusuli sorakan gemuruh kira-kira 5,000 penyokong di stadium.

Kemenangan itu menyaksikan skuad Speedy Tigers, yang hadir dengan status juara bertahan, menamatkan liga sepusingan di kedudukan ketiga dengan sembilan mata di belakang Jepun (13 mata) dan Pakistan (11 mata), mengatasi New Zealand (7 mata), Korea Selatan (3 mata) dan Kanada yang menduduki tangga tercorot tanpa sebarang mata.

Malaysia sebelum ini menewaskan Kanada 6-2 dan New Zealand 6-4 namun kalah tipis 4-5 kepada Pakistan dan 1-2 kepada Jepun manakala Korea Selatan pula sekadar mengatasi Kanada 1-0 namun tewas 1-2 kepada Jepun, 0-4 di tangan Pakistan dan 1-4 kepada New Zealand.

Juara tiga kali Pakistan dan Jepun bakal berentap pada final hari ini selaku dua pasukan terbaik pusingan awal manakala Malaysia akan mencabar New Zealand untuk gangsa selain aksi Korea Selatan bertemu Kanada untuk penentuan kelima-keenam. - BERNAMA

NIZAHA BINTI ABDUL KAREM