MADRID, 10 Mei - Girona berazam untuk menamatkan musim ini dengan menduduki tangga kedua selepas mempamerkan persembahan menakjubkan pada kempen liga kali ini kata pengurus Michel menjelang pertembungan pasukan berkenaan menentang Alaves pada Jumaat.
Kemenangan 4-2 Girona terhadap Barcelona minggu lalu memberikan kejuaraan mutlak kepada Real Madrid di persada liga sekali gus kejuaraan kali ke-36 buat 'Los Blancos'.
Kedudukan terbaik Girona di La liga adalah pada musim 2017-2018 dan 2022-2023 apabila menduduki tangga ke-10. Musim ini, kelab yang dimiliki oleh Kumpulan Abu Dhabi City itu berada di kedudukan kedua dengan 74 mata dengan berbaki empat perlawanan lagi mengatasi Barcelona di tangga ketiga.
Dalam pada itu, pengurus Girona, Michel berkata pasukan berkenaan perlu fokus bagi memenangi baki perlawanan bagi meletakkan pasukan berkenaan sebagai naib juara La Liga.
"Objektif pasukan kini adalah untuk berada di kedudukan kedua La Liga dan memenangi kesemua perlawanan. paling penting adalah untuk mengatasi Barcelona", kata Michel kepada pemberita pada Khamis.
"Kami kini adalah seteru untuk Barcelona kerana mereka kini berada di bawah kami dan kami mempunyai objektif sama bagi menjadi naib juara", tambah Michel.
Sementara itu, mengulas mengenai perlawanan menentang Alaves, Michel menjelaskan Alaves mampu menghadirkan ancaman buat pasukannya yang kehilangan beberapa pemain akibat kecederaan.
"Saya menjangkakan perlawanan akan menjadi sukar menentang Alaves. mereka mempunyai para pemain-pemain yang pantas dan lincah.
"Mereka merupakan pasukan yang sangat bekerjasama dan kami harus mempamerkan persembahan terbaik bagi menewaskan mereka", ujar Michel.-Reuters