KUALA LUMPUR, 20 Februari- Program KL Car Free Morning berupaya memupuk budaya hidup cergas dalam kalangan masyarakat.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata program berkenaan kini dianjurkan pada setiap Ahad berbanding pada minggu pertama dan ketiga sebelum ini.
Beliau yang turut menyertai acara berbasikal, berharap program tersebut dapat diteruskan dengan pelbagai aktiviti menarik.
"Bagi menyokong hasrat kerajaan untuk menjaga kelestarian alam; dan kita mengadakan program berbasikal, beriadah, 'jogging' dan sebagainya, namun kita masih mengikut SOP yang telah ditetapkan hanya tidak lebih daripada 1,000 peserta untuk hari ini.
"Saya berharap agar program kerjasama Kementerian Wilayah dengan kementerian-kementerian lain akan dapat kita teruskan dari semasa ke semasa kerana kita dapat melihat kemeriahannya sambil kita dapat memberi kesedaran kepada orang ramai untuk kekal hidup cergas dan aktif," katanya.
Beliau berkata kepada pemberita selepas tamat menyertai acara berbasikal sempena Program Coffee Ride KL Car Free Morning 2022 di ibu negara.