fb fb fb fb fb

'Post mortem' pastikan skuad negara tidak mudah tewas - Faizal Azumu

TAPAH, 20 Februari- Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu mahu satu 'post mortem' dibuat dan tindakan serius perlu diambil oleh pihak berkaitan susulan kekalahan 1-2 kepada Laos dalam Kejohanan AFF Bawah-23 di Kemboja kelmarin.

Sambil melahirkan kekecewaan. beliau berkata, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bersama komuniti bola sepak negara perlu mencari jalan mempertingkatkan prestasi pasukan kebangsaan.

“Kita kecewa apabila pasukan kebangsaan yang menyertai kejohanan, kalah. Tentunya kita rasa amat kecewa kerana bola sepak adalah sukan popular di negara kita, sebahagian besar rakyat bermain sukan ini.

“Tapi apabila bermain di kejohanan antarabangsa, kita nampak agak lemah. Saya harap FAM mencari jalan bersama komuniti bola sepak seluruh negara, mereka perlu bekerjasama rapat dan cari jalan untuk mempertingkatkan prestasi pasukan kita.

"Sebagai permulaan, bagaimana untuk mengembangkan bakat-bakat baru sehingga berjaya menubuhkan pasukan dan mempertingkatkan kualiti pemain melalui semangat kerja sepasukan, pastikan kita tidak tewas kepada pasukan-pasukan yang sebelum ini adalah pasukan belasahan kita. Kita nampak terkebelakang," katanya.selepas Kejohanan Futsal Peja Trophy Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang di Kompleks Sukan Batang Padang, di sini.

Pasukan kebangsaan tewas mengejut pada perlawanan pertama Kumpulan B Kejohanan AFF B-23 yang menyaksikan skuad bimbingan Brad Maloney menempah laluan sukar untuk mara ke separuh akhir kejohanan.

Skuad kebangsaan tiada pilihan dan wajib menang pada aksi kedua kumpulan esok untuk layak ke peringkat separuh akhir.

Ini kerana hanya pemenang bagi kumpulan dan satu penyandang naib juara terbaik akan mara ke separuh akhir pada 24 Februari sebelum perlawanan perlawanan akhir pada 26 Februari.

Saingan dalam Kumpulan B hanya membabitkan Malaysia dan Laos selepas Myanmar dan Indonesia menarik diri daripada kejohanan disebabkan penularan COVID-19.

Media Baharu