TURIN, 17 Oktober- Pemain tengah Juventus, Paul Pogba, tidak sabar untuk kembali beraksi selepas tempoh penggantungan dopingnya dikurangkan daripada empat tahun kepada 18 bulan.
Pogba turut menyatakan hasratnya untuk beraksi di Piala Dunia 2026 bersama skuad kebangsaan Perancis.
Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) mengurangkan hukuman ke atas pemain berusia 31 tahun itu awal bulan ini selepas dia digantung sementara oleh Agensi AntiDoping Itali pada September 2023 selepas positif bahan terlarang DHEA, yang dapat meningkatkan paras testosteron.
Pogba, yang merayu kepada CAS dengan hujah bahawa pengambilan DHEA itu tidak disengajakan,layak kembali bermain untuk Juventus pada Mac tahun depan.
Dia berkata dirinya kini lebih kuat, dan sanggup menerima pemotongan gaji demi kembali ke padang.
"Saya bersedia untuk kembali normal pada tahun 2025. Saya hanya ada satu keinginan iaitu untuk bermain bola sepak.
"Realitinya, saya ialah pemain Juventus dan saya sedang bersedia untuk bermain untuk Juve," kata Pogba kepada akhbar Itali, Gazzetta dello Sport pada Rabu.
"Saya sanggup melepaskan wang untuk bermain semula dengan Juventus
" Saya mahu kembali," tambahnya, yang masih mempunyai kontrak dengan Juventus sehingga Jun 2026.
Pogba, yang kali terakhir bermain untuk Juventus lebih setahun lalu dalam kemenangan 2-0 ke atas Empoli, berkata bahawa penggantungan tersebut merupakan detik paling sukar dalam kariernya.
"Ia adalah tahun yang sangat sukar dan apa yang paling menyakitkan. Setiap hari terpaksa berada di luar stadium dan pusat latihan Juventus di Continassa.
"Membawa anak-anak saya ke sekolah tanpa dapat masuk untuk berlatih atau bermain untuk Juventus", katanya.
"Banyak rakan sepasukan lama dan semasa sentiasa menyokong saya. Cuadrado menelefon saya setiap hari dan sentiasa membuat saya ketawa. Dybala menghantar banyak mesej kepada saya, begitu juga Vlahovic, McKennie, Weah,Kean. Saya tidak menjangkakan begitu ramai yang peduli", tambah Pogba.
Selain ingin kembali ke prestasi terbaiknya bersama Juventus, Pogba juga berharap untuk dipanggil semula oleh jurulatih Didier Deschamps ke skuad Perancis bagi menghadapi Piala Dunia 2026 di Amerika Syarikat, Mexico, dan Kanada.
"Impian Piala Dunia sentiasa ada, tetapi Deschamps tidak membuka pintu untuk sesiapa.
"Saya yang perlu membukanya sendiri, dia memberitahu saya untuk bekerja keras," kata Pogba.