fb fb fb fb fb

PM umum sumbangan RM1 juta kepada KLFA

Perdana Menteri berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KLFA di ibu negara. - Foto Bernama

KUALA LUMPUR, 12 Julai - Sebanyak RM1 juta diperuntukkan kepada Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, sebagai usaha menyokong pembangunan semula sukan bola sepak di ibu negara.

Tambah beliau, kerajaan akan terus menyokong pembangunan bola sepak yang dianggap sebagai sukan rakyat.

Namun, penambahbaikan aspek prasarana turut menjadi keutamaan dalam usaha memajukan sukan tersebut.

“Ini merupakan peluang untuk kita mengangkat martabat bola sepak negara, namun usaha ini perlu bermula dari peringkat akar umbi. Justeru, kerjasama dengan Kementerian Pendidikan, Kementerian Pendidikan Tinggi serta institusi-institusi latihan lain amat penting."

“Pembangunan bola sepak bukan hanya tertumpu kepada peruntukan dana semata-mata, sebaliknya turut merangkumi penyediaan padang, pusat latihan dan akademi yang lengkap agar bakat muda dapat digilap dalam suasana yang kondusif dan selesa."

Beliau berucap pada Majlis Sambutan Jubli Emas 50 Tahun KLFA di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan menjaga budaya kesukanan, terutamanya dari segi tingkah laku penyokong yang kadangkala bertindak melampau hingga mencemarkan semangat perpaduan.

“Ada kumpulan penyokong yang kadang-kadang tidak terkawal. Kalau kalah, tak semestinya perlu dihina. Kalau pemain sudah berusaha bersungguh-sungguh, kita memang mahu menang, tetapi jangan menghina pihak yang kalah. Ini bukan budaya kita." ujar beliau

Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah diarahkan untuk memantau dan mengawal sebarang kejadian yang boleh menjejaskan imej bola sepak negara, selaras dengan matlamat sukan sebagai platform perpaduan dan gaya hidup sihat.

TUN JULIA MOHD TAHIR