KUALA LUMPUR, 12 Julai - Siasatan sedang dilaksana berhubung satu akaun TikTok yang dipercayai palsu dan menggunakan nama Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.
Akaun yang menggunakan nama @saifuddin_nasution1 itu, disyaki menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan bantuan kewangan bagi tujuan tertentu.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman, Datuk Fadil Marsus mengesahkan menerima laporan berhubung perkara tersebut.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
“PDRM memberi amaran tegas bahawa tindakan undang-undang akan diambil terhadap mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam pelanggaran undang-undang ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sebelum ini, Pejabat Menteri Dalam Negeri turut mengesahkan akaun palsu tersebut memaparkan pautan WhatsApp kononnya untuk menyalurkan bantuan kewangan, diletakkan di ruangan biografi laman TikTok berkenaan.