fb fb fb fb fb

Piala Thomas: Tze Yong ceriakan kem negara

Pemain perseorangan badminton negara, Ng Tze Yong / Foto FB Persatuan Badminton Malaysia (BAM)

KUALA LUMPUR, 3 April-Kem Badminton negara menerima khabar gembira apabila Pengarah Kejurulatihan Akademi Badminton Malaysia (ABM) Rexy Mainaky menyatakan perseorangan lelaki negara Ng Tze Yong kemungkinan berpeluang menyertai skuad negara ke kejohanan Piala Thomas 2024.

Jelas Rexy pemain di ranking ke-18 dunia itu mempunyai masa yang cukup untuk pulih sepenuhnya selepas menjalani pembedahan di bahagian belakang pada Februari lepas.

Beliau berkata Tze Yong sudah kembali meneruskan latihan namun masih berhati-hati dan kurang agresif.

Tze Yong disahkan mengalami kesakitan tulang belakang akibat kecederaan dialami pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2024 di Shah Alam, Selangor, Februari lepas.

Pemain berusia 23 tahun itu sebelum ini terlepas peluang membuat penampilan sulung pada Sukan Olimpik 2024.

Malah beliau sebelum ini menarik diri daripada menyertai Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BAC) 2024 di Ningbo, China pada 9 hingga 14 April ini.

Dalam perkembangan Piala Thomas, Rexy memaklumkan pemain lelaki profesional negara Lee Zii Jia masih belum pasti beraksi dalam kejohanan tersebut.

Ia susulan pasukan Zii Jia sedang merangka perancangan terbaik buat juara All England 2021 menghadapi Sukan Olimpik Paris 2024 yang akan membuka tirai 26 Julai ini.

Bagaimanapun, Rexy berkata semuanya masih di peringkat perbincangan dengan tarikh akhir penghantaran nama ke Piala Thomas 2024 adalah pada 13 April ini.

Justeru pihaknya masih menanti pertemuan seterusnya bersama pasukan Lee Zii Jia.

Piala Thomas 2024 akan berlangsung di Chengdu, China pada 27 April hingga 5 Mei ini.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD