KUALA LUMPUR, 4 Mei- Perjuangan skuad Piala Thomas negara berakhir di peringkat separuh akhir selepas tumpas 1-3 kepada tuan rumah, China.
Lee Zii Jia yang turun sebagai pemain perseorangan pertama gagal menyumbang mata pertama buat Malaysia selepas tewas di tangan Shi Yu Qi.
Pertembungan selama 39 minit itu menyaksikan, Zii Jia bermain dengan baik pada set pertama sebelum tewas 19-21.
Namun lain ceritanya di set kedua apabila dia kerap melakukan kesilapan mudah.
Situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Yu Qi untuk menguasai perlawanan dan menang mudah 21-5.
Kem negara kemudian bangkit menerusi beregu lelaki utama negara, Aaron Chia- Soh Wooi Yik.
Mereka membuka kembali peluang apabila menundukkan menewaskan pasangan China, Liang Wei Keng-Wang Chang.
Dalam pertembungan yang cukup sengit di Pusat Sukan Chengdu High-Tech Zone itu, Aaron-Wooi Yik bangkit daripada kekalahan set pertama 15-21.
Mereka menang 21-12 dan 21-17 pada dua set berikutnya sekali gus mengikat kedudukan 1-1.
Dalam perlawanan ketiga, Malaysia kembali ketinggalan apabila Leong Jun Hao tumpas kepada Li Shi Feng.
Kehebatan Shi Feng nyata gagal ditandingi Jun Hao apabila tunduk straight sets, 17-21, 10-21.
Percubaan untuk bangkit pada perlawanan keempat digalas gandingan Nur Izzuddin Rumsani-Goh Sze Fei.
Harapan untuk kem negara dilihat cerah selepas mereka berjaya menjinakkan He Ji Ting-Ren Xiang Yu 21-18 pada set pertama.
Namun, Ji Ting-Xiang Yu berjaya memperkemas permainan untuk menguasai dua set berikutnya dan menang 21-19 dan 21-12.
Kemenangan itu menyaksikan China akan bertemu Indonesia pada aksi final esok.