KUALA LUMPUR, 21 November - Skuad hoki lelaki kebangsaan menampilkan dua pemain baharu untuk menggalas cabaran Piala Sultan Azlan Shah 2025 yang bakal berlangsung dari 23 hingga 30 November ini di Ipoh, Perak.
Menurut kenyataan Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) hari ini, dua pemain tersebut ialah pertahanan Muhammad Nur Asyraf Ishak dan pemain tengah Zufar Saiful Marsita, yang dipilih selepas menunjukkan prestasi cemerlang ketika mewakili Melaka dalam Piala Tun Abdul Razak baru-baru ini.
Ketua jurulatih Speedy Tigers, Sarjit Singh optimis penyertaan dua pemain itu dapat memberikan aksi cemerlang kepada pasukan kebangsaan.
"Kita ada dua muka baharu untuk edisi tahun ini, kedua-duanya dari Melaka yang bermain baik dalam TNB Piala Tun Abdul Razak 2025. Ini adalah kejohanan pertama mereka, dan Zufar yang baru berusia 20 tahun, berjaya menjaringkan dua gol ketika aksi persahabatan.
"Sebagai persiapan, kami telah mengadakan beberapa perlawanan persahabatan menentang Korea, India dan Skuad Remaja Lelaki kebangsaan bagi menguji kombinasi serta menilai tahap kesiapsiagaan pemain", katanya.
Sementara itu, pengurus pasukan, Datuk Ahmad Najmi Abdul Razak berkata, peluang yang diberikan kepada kedua-dua pemain itu harus dimanfaatkan sebaiknya untuk membuktikan kemampuan mereka di pentas antarabangsa.
Tambahnya, edisi ke-31 kali ini dianggap antara yang berprestij dengan kehadiran dua kuasa besar hoki dunia, iaitu Belgium yang berada di ranking ketiga dunia dan India di kedudukan ketujuh.
"Belgium dan India dalam fasa persiapan ke FIH Pro League yang bermula Disember ini, manakala pasukan seperti Malaysia (ranking 13 dunia), Korea (15) dan Kanada (20) sedang memperkemas taktikal menjelang Kelayakan Piala Dunia 2026.
"Pasukan-pasukan ini berada dalam kelas tersendiri dan kehadiran mereka semestinya memberi nilai tambah kepada kelainan serta prestij edisi 2025," jelasnya.
Malaysia akan membuka tirai Piala Sultan Azlan Shah 2025 menentang New Zealand pada Ahad, diikuti Kanada (24 Nov), India (26 Nov), Belgium (27 Nov) dan Korea Selatan (29 Nov).
Hanya dua pasukan terbaik dalam kejohanan yang berlangsung dalam format liga sepusingan (round robin) akan berentap pada perlawanan akhir yang akan berlangsung 30 November ini.