(Pemain Perak FC Seo Seonung (tengah) mengawal bola ketika bertemu pasukan Kedah Darul
Aman dalam saingan Piala Malaysia 2023 di Stadium Perak/BERNAMA)
IPOH, 3 Ogos- Perak FC memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk menewaskan Kedah Darul Aman (KDA FC) 3-1 dalam aksi perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Piala Malaysia, malam tadi.
Pasukan pelawat bagaimanapun terlebih dahulu di depan seawal minit pertama menerusi tandukan ketua pasukan Manuel Ott.
Tersentak dengan jaringan itu, Perak FC memperkemaskan permainan namun gagal mencari gol penyamaan sehingga separuh masa pertama berakhir.
Sebaik babak kedua bermula, Skuad The Bos Gaurus tidak menunggu lama untuk menjadikan keduduakan satu sama.
Kapten pasukan, Luciano Guaycochea menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-48 selepas bola dikesan terkena tangan pemain pertahanan KDA FC.
Berselang tujuh minit kemudian, Luka Milunovic menjaringkan gol kedua Perak FC apabila bijak menyudahkan bola hantaran Firdaus Saiyadi.
Kedah kemudian dipaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Rodney Celvin diperintah keluar padang pada minit ke-61.
Kelebihan tersebut dimanfaatkan pasukan tuan rumah menerusi gol ketiga oleh Hakimi Mat Isa pada minit ke-86.
Jurulatih Perak FC, Yusri Che Lah nyata berpuas hati dengan kesungguhan barisan pemainnya sehingga berjaya mencipta kemenangan di Stadium Perak di sini.
"Saya beri pujian kepada semua pemain. Persembahan yang hebat, saya hilang kata-kata tentang prestasi pasukan. Yang penting mereka bangkit selepas ketinggalan dan beraksi seperti yang saya inginkan. Itu yang menjadi tonik kejayaan malam tadi (Khamis)," kata Yusri.
Sementara itu pengendali KDA FC, Nafuzi Zain jelas kecewa dengan keputusan perlawanan meskipun mendahului seawal minit pertama.
"Kita banyak menunggu, kita tidak memberi tekanan pada pihak lawan. Terlalu banyak memberi ruang, di situlah nampak kita bergelut. Kita tidak bermain seperti sepatutnya kita main, apa yang biasa kita main. Mungkin 10 minit saja, lepas tu kita hanya bertahan terlalu memberi ruang memudahkan Perak," kata Nafuzi.
Aksi timbal balik di Stadium Darul Aman akan berlangsung pada 18 Ogos.
(Pemain Perak FC Luka Milunovic (dua, kanan) digasak pemain lawan ketika bertemu pasukan
Kedah Darul Aman dalam saingan Piala Malaysia 2023/BERNAMA)