LONDON, 6 Januari - Pengurus Arsenal, Mikel Arteta mengharapkan anak-anak buahnya bangkit dan menjadikan Liverpool sebagai mangsa menjelang pertembungan kedua-dua pasukan pada pusingan ketiga Piala FA pada Ahad.
Arteta memenangi Piala FA pada musim pertamanya bergelar pengurus 'The Gunners' pada musim 2019-2020 menewaskan Manchester City bagi menjulang kejuaraan sekali gus melebarkan rekod kejuaraan kelab kepada 14 berbanding Liverpool lapan kali.
Pengurus Sepanyol itu menjangkakan satu perlawanan sengit di antara kedua-dua pasukan bakal berlangsung selepas kedua-duanya seri 1-1 pada perlawanan liga sebelum Krismas tempoh hari.
"Kedua-dua kelab mempunyai sejarah hebat dalam pertandingan ini (Piala FA).
"Kami mempunyai seteru hebat. Ia adalah sesuatu yang hebat untuk memulakan 'perjalanan yang indah' buat Arsenal", kata Arteta kepada pemberita.
"Saya menjangkakan perlawanan akan berlangsung dengan sengit.
"Kami berdepan dengan pasukan hebat pada pusingan ke-3. Kami terpaksa hadapinya dan mengharapkan keputusan baik", kata Arteta lagi.
Arsenal ketika ini berada di kedudukan keempat liga selepas tumpas kepada Fulham dengan ketumpulan jentera serangan yang diketuai oleh Gabriel Martinelli, Bukayo Saka dan Martin Odegaard.
Musim lalu, trio serangan itu menjaringkan 29 gol, namun prestasi tersebut merosot kepada 12 gol setakat ini.
Krisis kecederaan ditambah dengan kehilangan beberapa pemain akibat tugasan antarabangsa menjadikan tugasan Arsenal bagi memenangi liga dan Piala FA semakin berliku.
Bagaimana pun, Arteta tetap bertegas tidak akan menandatangani pemain baharu dalam usaha memperkasakan pasukan pada jendela perpindahan bulan ini.
"Kami terbuka dengan jendela perpindahan tetapi lebih fokus dengan apa yang kami ada.
"Kami akan bekerjasama dengan pihak pengurusan kelab untuk melihat pilihan yang ada", kata Arteta.-AFP