RIO DE JANEIRO, 6 Januari- Legenda bola sepak Brazil, Mario Zagallo yang memenangi empat kejuaraan Piala Dunia selaku pemain dan jurulatih dilaporkan meninggal dunia, menurut satu hantaran di instgram rasmi bekas pemain berkenaan pada Sabtu.
Zagallo meninggal dunia pada usia 92 tahun.
Beraksi di sayap kiri pasukan 'Selecao', Zagallo bermain mewakili pasukan berkenaan ketika memenangi Piala Dunia pada 1958 buat kali pertama.
Empat tahun kemudian, Zagallo sekali lagi terpilih membawa cabaran Brazil ke Piala Dunia di Chile yang menyaksikan negara tersebut menang dan mempertahankan kejuaraan Piala Dunia buat kali kedua.
Pada edisi Piala Dunia 1970, Zagallo dilantik menjadi jurulatih dan memimpin Brazil yang dibarisi bintang-bintang terkemuka seperti Pele,Jairzinho, Rivellino dan Tostao bagi memenangi kejuaraan kali ketiga di Mexico.
Kemenangan berkenaan meletakkan Zagallo sebagai individu pertama yang memenangi Piala Dunia selaku pemain dan pengurus.
Zagallo kemudiannya dilantik sebagai penolong jurulatih kepada Carlos Alberto Parreira ketika pasukan Amerika Selatan itu memenangi kejuaraan keempat Piala Dunia pada 1994.-REUTERS