LABUAN, 6 Januari- Kejohanan Golf Tahun Baharu 2024 anjuran Persatuan Penggiat Media Labuan melabuhkan tirainya menyaksikan Idris Mohammad dan Mohd Ismifarizal Mohammed Ishak masing-masing muncul juara kategori Gross VIP dan jemputan.
Kejohanan yang dianjurkan dengan kerjasama Perbadanan Labuan dan Labuan International Golf Club (LIGC) itu disertai 40 pemain.
Bagi kategori Gross VIP, Idris berjaya melakukan 82 pukulan keseluruhan, menewaskan Datuk Hung How kiong dan Taufek Ali, masing-masing di tempat kedua dan ketiga.
Manakala kategori Gross jemputan pula, Mohd Ismifarizal juga berjaya melakukan 89 pukulan untuk merangkul juara dengan menerima hadiah wang tunai, meninggalkan pemian di tempat kedua dan ketiga iaitu A. Roslee karim dan Mohd Alif Gapilin.
Sementara untuk kategori Nett, Helmi Bali melakukan 70 pukulan dua bawah par untuk rangkul johan.
Dalam pada itu, Pengerusi Persatuan Penggiat Media Labuan Jainudin Djimin, menzahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat serta penyumbang yang menjayakan program tersebut.
"Kita di pihak Persatuan Penggiat Media Labuan rasanya bercadang akan menjadikan acara ini sebagai acara tahunan di mana akan melibatkan kerjasama Perbadanan Labuan dan juga LIGC.
"Pada kesempatan ini juga ribuan terima kasih kepada peserta yang sama-sama menjayakan program kita kali ini,"katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis penyampaian hadiah kejohanan itu.