fb fb fb fb fb

KFA sahkan CEO direman SPRM

Radhi Mad Din (TENGAH) ketika menghadiri Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Kedah

ALOR SETAR, 6 Januari- Susulan penahanan seorang ketua pagawai eksekutif persatuan bola sepak dari utara tanah air berkaitan dakwaan rasuah semalam, Naib Presiden Persatuan Bola Sepak Kedah (KFA) Muhammad Radhi Mat Din hari ini mengesahkan CEO persatuan itu Zulkifli Che Haron ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau bagaimanapun berkata pihaknya tidak mempunyai maklumat terperinci berhubung penahanan Zulkifli bersama tiga lagi individu itu.

Muhammad Radhi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kepenggunaan dan Kos Sara Hidup, Belia dan Sukan Kedah berkata beliau sendiri terkejut dengan penahanan Zulkifli malah menyifatkan individu itu sebagai seorang yang 'paling bekerja' dalam persatuan berkenaan.

"Kita kena tunggu sekejap, bagi masa, tengok bentuk pertuduhan apa semua dulu, KFA juga akan mengadakan mesyuarat khas dalam masa terdekat, mungkin hari ini, mungkin esok.

"Ia (mesyuarat khas) perlu kerana kita kena selami tentang masalah ini sebab saya memang tidak tahu," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Majlis Belia Negeri Kedah, di sini hari ini.

Semalam, media melaporkan SPRM mendapat perintah reman selama tiga hari sehingga esok terhadap empat individu termasuk seorang ketua pegawai eksekutif sebuah persatuan bola sepak di sebuah negeri di utara tanah air bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah bernilai lebih RM6 juta pada 2020.

Keempat-empat mereka berusia antara 40 hingga 60 tahun itu ditahan ketika hadir memberi keterangan di Pejabat SPRM Kedah antara 5 hingga 6.30 petang pada Khamis.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE