fb fb fb fb fb

Piala Emas SSL: Malaysia di belakang Afrika Selatan selepas tiga perlumbaan

KUALA LUMPUR, 16 Julai- Pasukan pelayaran negara, ‘The Monsoon’, memulakan sesi kelayakan saingan Piala Emas Liga Pelayar (SSL) dengan bergaya apabila menduduki tempat kedua di belakang Afrika Selatan selepas tiga perlumbaan dalam Kumpulan 7 di Lake Nauchatel, Switzerland.

Pada perlumbaan ketiga hari ini, The Monsoon menamatkan saingan di tempat kedua dengan catatan masa 49 minit 43 saat (s), di belakang pendahulu Afrika Selatan ( 48:16s) manakala India ketiga dengan masa 50:36s, menurut https://goldcup.starsailors.com/live/.

Kemenangan perlumbaan ketiga itu membolehkan Afrika Selatan mengutip tiga mata manakala Malaysia dan India masing-masing memperoleh dua dan satu mata.

Malaysia kini menghuni tempat kedua dalam Kumpulan 7, berkongsi tujuh mata dengan Afrika Selatan diikuti India dengan empat mata.

Dalam perlumbaan pertama dan kedua, Malaysia menghuni tempat kedua dan pertama masing-masing untuk mengumpul lima mata dan mendahului Kumpulan 7 sebelum dipintas Afrika Selatan semalam.

Dua pasukan terbaik dalam kumpulan akan layak ke peringkat akhir SSL di Bahrain, Oktober, ini.

Piala Emas SSL itu menyaksikan penyertaan 56 negara utama dalam dunia sukan pelayaran dengan Malaysia menduduki ranking ke-51.

‘The Monsoon’ dianggotai 11 pelayar negara tetapi hanya sembilan pelayar akan menyertai perlumbaan pada satu-satu masa.

Pasukan pelayaran negara, ‘The Monsoon’ / FOTO FB SSLTeamMalaysia

Selain pelayar Olimpik negara, Khairulnizam Mohd Afendy, turut berada dalam pasukan negara ialah Mohamad Faizal Norizan, Asri Azman, Nuraisyah Jamil, Ahmad Khairulhafiz Ahmad Khmbali, Muhamad Uzair Amin Mohd Yusof, Ong Khong Shing, Ahmad Faizul Aswad Mohamed, Ahmad Hakhimi Ahmad Shukri, Mohd Amsyar Syahmi Mohd Ajwi dan Mohd Azhar Sa’don Zubir.

Pada penghujung 2021, Piala Emas SSL mengadakan saingan ujian pertama melibatkan lapan negara di Switzerland dan Malaysia menduduki tempat ketiga di belakang Afrika Selatan dan Thailand.

Negara peserta lain ialah Perancis, Mexico, Ukraine, Turkiye dan Tahiti. -BERNAMA

Media Baharu