MELAKA, 28 Oktotber - Pasukan SPRM muncul juara Piala Emas Raja-Raja (PERR) edisi ke-102 selepas menewaskan Bomba FC 2-1 dalam perlawanan akhir yang berlangsung di Stadium Hang Jebat, Krubong, di sini malam tadi.
Biarpun SPRM ketinggalan 0-1 di babak pertama, namun skuad bimbingan bekas pemain kebangsaan Mohd Khalid Shadan tidak berputus asa dan bangkit menjaring dua gol di separuh masa kedua perlawanan.
Pasukan bomba yang terlebih dahulu membuka jaringan menerusi Muhammad Aidil Syazran Sukarno pada minit ke-34 selepas bola rembatannya terkena palang lalu menerjah gawang.
Bersambung separuh masa kedua, SPRM yang bersemangat mencari gol penyamaan, akhirnya berjaya memperolehi gol pada minit ke-63 menerusi sepakan deras Ahmad Basheer Anas Shamsuri untuk mengikat lawan.
Sebelum 10 minit perlawanan masa sebenar tamat, SPRM diberi sepakan penalti selepas Muhammad Adib Abdul Nahar dijatuhkan pihak lawan.
Tidak menunggu lama, Ahmad Basheer sekali lagi berjaya menyempurnakan sepakan penalti di minit ke- 81 dan keputusan itu kekal sehingga wisel tamat permainan dibunyikan.
Selaku juara SPRM membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 manakala Bomba memenangi RM30,000.
Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam. - BERNAMA